
NEW DELHI: India telah memperluas sekatan ruang udaranya berikutan ketegangan ketenteraan yang berterusan dengan Pakistan.
Pihak Berkuasa Lapangan Terbang India (AAI) dan pihak berkuasa penerbangan berkaitan telah mengeluarkan beberapa notis kepada juruterbang (NOTAM) bagi mengumumkan penutupan sementara 32 lapangan terbang di utara dan barat India daripada semua operasi penerbangan awam, menurut kenyataan Kementerian Penerbangan Awam awal Sabtu.
Lapangan terbang yang terjejas termasuk Ambala di negeri Haryana, Amritsar di Punjab, Bhuj dan Jamnagar di Gujarat, Jaisalmer dan Jodhpur di Rajasthan, serta Jammu dan Srinagar di wilayah Kashmir, dan Shimla di Himachal Pradesh.
Semua operasi penerbangan awam di lapangan terbang ini akan digantung sehingga 15 Mei, menurut kenyataan itu.
Ketegangan ketenteraan antara India dan Pakistan semakin memuncak dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan kawasan sempadan menyaksikan serangan udara dan artileri.– Bernama