
KUALA LUMPUR: Jepun menganggap Malaysia memainkan peranan penting dalam memajukan kerjasama tenaga bersih di Asia Tenggara, khususnya dalam kapasiti negara ini selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dan tuan rumah bersama Mesyuarat Menteri Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC).
Bekas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berkata kepimpinan Malaysia hadir pada waktu yang penting bagi usaha penyahkarbonan serantau, dengan pelbagai projek berkaitan AZEC telah pun dimulakan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan negara tuan rumah bersama Mesyuarat Menteri AZEC, Malaysia memainkan peranan penting dalam memajukan pelbagai projek penyahkarbonan di seluruh rantau ini,” katanya kepada Meja Berita Antarabangsa Bernama ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.
Kishida, yang sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia, juga merupakan Penasihat Tertinggi kepada Persatuan Parlimen AZEC.
Beliau berkata inisiatif AZEC masa kini meliputi bidang seperti penghantaran dan pengagihan tenaga serta tenaga boleh baharu, yang dijangka sejajar dengan usaha tenaga bersih ASEAN.
“Kami menjangka usaha ini akan mewujudkan sinergi kukuh dengan inisiatif ASEAN, termasuk konsep Grid Kuasa ASEAN,” tambah beliau.
AZEC merupakan inisiatif yang diketuai Jepun dan dilancarkan pada 2022 bagi menggalakkan penyahkarbonan di seluruh Asia melalui kerjasama serantau, pemindahan teknologi dan perkongsian awam-swasta.
Inisiatif ini bertujuan mengimbangi tindakan terhadap perubahan iklim dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan, khususnya di negara sedang membangun.
Kishida, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun, berkata Tokyo melihat Malaysia sebagai “rakan yang sangat boleh dipercayai” yang telah mengambil langkah aktif ke arah peralihan tenaga, sebahagiannya diilhamkan oleh AZEC.
“Saya melihat potensi besar untuk kerjasama antara kedua-dua negara dalam memajukan penyahkarbonan,” katanya, sambil memaklumkan bahawa kerjasama yang sedang berlangsung merangkumi projek dalam bidang penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), ammonia, bahan api penerbangan mampan (SAF) dan pembangunan grid kuasa.
“Sepanjang lawatan ini, saya benar-benar merasai kepelbagaian keperluan berkaitan penyahkarbonan di rantau Asia Tenggara dan harapan tinggi yang disandarkan kepada Jepun, memandangkan banyak projek telah pun dijalankan,” katanya.
Kishida berkata lawatan ke lokasi projek dan penglibatan bersama pihak industri telah mengukuhkan lagi kepentingan peranan kerajaan dalam menerajui usaha membina kerjasama berkesan dengan rakan serantau.
Beliau juga menekankan peranan Liga Parlimen AZEC Jepun yang semakin meningkat dalam mempromosikan inisiatif itu dari perspektif perundangan.
“Sebagai kumpulan parlimen, kami berharap dapat menyumbang kepada promosi AZEC dari perspektif unik parlimen dengan memanfaatkan rangkaian luas setiap ahli serta memudahkan dialog bersama negara rakan, pihak industri dan pihak berkepentingan lain,” katanya.
Menjelang mesyuarat menteri dan sidang kemuncak akan datang, Kishida menambah bahawa kumpulan itu berhasrat untuk mengemukakan cadangan rasmi kepada kerajaan Jepun berdasarkan hasil lawatan ini bagi menyokong kemajuan AZEC selanjutnya.– Bernama