
SHAH ALAM: Pengecualian sektor aeroangkasa daripada dikenakan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) merupakan salah satu intipati dalam rundingan timbal balas antara kerajaan Malaysia dan AS.
Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) (MITI) Datuk Hanafi Sakri berkata sektor aeroangkasa merupakan salah satu sektor kritikal yang sekiranya dikenakan tarif akan memberi kesan kepada kedua-dua syarikat tempatan dan juga syarikat AS.
“Jika boleh, kita mahu semua sektor dikecualikan (daripada tarif) dalam proses rundingan bersama AS.
“Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada sektor itu (tahap kritikalnya) dan bagi sektor aeroangkasa, sekiranya dikenakan tarif, syarikat AS (dalam sektor aeroangkasa) juga akan terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan hangar KarbonMRO dan perkhidmatan enjin KarbonMRO, di sini, hari ini.
– Bernama