LAWAS: Daerah Kecil Sundar bakal dibangunkan menjadi sebuah pekan dalam taman yang dipenuhi pokok Sakura.
Ini akan menjadikan daerah itu sebagai destinasi pelancongan dan juga pusat penduduk Lawas beriadah sambil menikmati keindahan bunga pokok Sakura.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kawasan pekan Sundar didapati sesuai untuk pertumbuhan pokok Sakura.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak memberitahu, kerajaan Sarawak akan terus memberi fokus kepada pembangunan di daerah itu menerusi berbagai pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan kementerian serta jabatan seperti di beberapa kawasan lain di negeri ini.
Melalui pelan terancang membabitkan aspek pembangunan sosial, ekonomi dan masyarakat, Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan pekan Sundar dengan berbagai pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan sosioekonomi penduduk.
“Secara keseluruhannya, saya mahu melihat pekan Sundar ini dirancang dengan pembangunan yang tersusun yang akan memberi manfaat kepada penduduk khususnya dalam meningkatkan sosioekonomi penduduk.
“Kita akan membuat ‘landscaping’ yang dirancang dengan menanam banyak pokok Sakura,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Sundar Waterfront dan Bangunan Baru Pejabat Daerah Kecil Sundar, Lawas semalam.
Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menjelaskan secara terperinci mengenai projek pembangunan yang dilaksanakan di daerah Lawas menerusi peruntukan NRDA dan peruntukan kementerian dan jabatan lain yang dilaksanakan di daerah itu ketika ini.
Ini meliputi Projek Pembinaan Waterfront Sundar melibatkan tiga fasa dengan Fasa Pertama telah siap, Fasa Kedua berjumlah RM10.7 juta siap 95 peratus dan Fasa Ketiga kini dalam perancangan.
Projek lain ialah Pembinaan Jeti berjumlah RM1.5 juta dan kini siap 75 peratus, Projek Sundar Recreational Park Fasa Pertama dibina dengan kemudahan trek jogging, trek berbasikal, surau, tandas dan blok pentadbiran dengan kos sebanyak RM10 juta di bawah NRDA.
Yang lain adalah Projek Pembinaan Anjung Usahawan Sundar menempatkan gerai jualan, kedai-kedai jualan, tempat acara awam luar dan dalam dengan kos RM5 juta di bawah kendalian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Usahawan.
Sementara itu projek baik pulih sekolah pula meliputi Projek Baik Pulih SMK Sundar sebanyak RM3.7 juta, Projek Baik Pulih SK Luagan Sundar RM5 juta termasuk pembinaan Dewan Serbaguna, Projek Baik Pulih SK Sundar RM4 juta bagi menimbus tanah lapang bagi mengelakkan banjir, Projek SK Aru Sundar RM3.4 juta bagi membina dewan serbaguna, blok tadika dan bina tandas baharu serta bilik kelas dan Projek Naik Taraf Bangunan SK Awat-Awat RM1.6 juta.
Hadir sama Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah Wilayah Badan Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidilah Abdul Latip dan Penguasa Tanah dan Survei, Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi.
Oleh Adeng Edrus