
PUTRAJAYA: Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menutup kesnya hari ini selepas memanggil 26 saksi.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, memaklumkan perkara tersebut kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas memanggil saksi terakhirnya iaitu pakar forensik dokumen Tay Eue Kam.
“Yang Arif, kami secara rasmi menutup kes selepas memanggil saksi ke-26 hari ini. Untuk makluman Yang Arif, perbicaraan kes ini bermula pada 28 Ogos 2019 dan pendakwaan menutup kesnya pada 30 Mei 2024 selepas mengambil masa 233 hari dengan memanggil 50 saksi.
“Pada 30 Oktober 2024, mahkamah telah memerintahkan Datuk Seri Najib untuk membela diri dengan prosiding pembelaan bermula pada 2 Disember 2024 dan berakhir hari ini, 6 Mei 2025, yang memakan masa selama 58 hari selepas memanggil 26 saksi,” katanya.
Sequerah kemudian menetapkan 30 September depan untuk kedua-dua pihak menyerahkan hujahan bertulis dan sembilan hari mulai 21 Okt untuk mendengar hujah.
-Bernama