
SARIKEI: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) merupakan tunjang utama kepada kesinambungan sosio budaya, ekonomi serta kesejahteraan penduduk setempat, sama ada di bandar mahupun di luar bandar.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, berkata bagi merealisasikan aspirasi ini, kerajaan Sarawak telah melaksanakan satu inisiatif strategik iaitu Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) melalui kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dan Institut Integriti Malaysia (IIM).
Inisiatif ini bertujuan membudayakan nilai-nilai integriti dalam kalangan KMKK di negeri ini.
“Tahniah kepada 129 peserta yang terpilih daripada kalangan KMKK Daerah Sarikei dan Tanjung Manis untuk mengikuti siri kali ini yang merangkumi Kursus MIKM Tahap 1 dan Tahap 2, dijalankan serentak selama tiga hari di sini,” katanya.
Len Talif berkata demikian, merasmikan Kursus MIKM Tahap 1 Siri 16 Bilangan 4/2025 dan Tahap 2 Siri 5 Bilangan 4/2025 bagi kawasan DUN Kuala Rajang di Dewan Sentral Sarikei, hari ini.
Kursus anjuran UNIONS itu bermula hari ini dan akan berlangsung sehingga 18 Mei 2025.
Menurut beliau, antara objektif pelaksanaan MIKM Tahap 1 dan Tahap 2 ialah untuk:
- Meningkatkan kefahaman KMKK mengenai peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin masyarakat.
- Memperkukuh pemahaman tentang konsep etika, integriti dan penerapan nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.
- Menjadikan KMKK sebagai ikon kepimpinan berintegriti dalam komuniti.
- Memberi pendedahan berkaitan aspek perundangan, bentuk salah laku integriti serta isu-isu integriti yang lazim berlaku dalam institusi KMKK.
- Meningkatkan keupayaan KMKK dalam menyelesaikan masalah komuniti dan membuat keputusan secara efektif.
Tambahnya lagi, sejak pelaksanaan MIKM pada 2023, sebanyak 15 siri MIKM Tahap 1 telah dijalankan di 13 daerah seluruh Sarawak termasuk Sibu, Miri, Bintulu, Sri Aman, Serian, Bau, Lundu, Sarikei, Matu, Daro, Igan dan Dalat.
“Untuk MIKM Tahap 2 pula, tiga siri kursus rintis telah dijalankan di Bintulu, Sarikei, Matu dan Daro, serta Igan dan Dalat. Hari ini, ia diteruskan di Daerah Sarikei dan Tanjung Manis.
“Setakat ini, hampir 800 peserta telah menyertai kursus ini yang turut mendapat kerjasama daripada pejabat Residen bahagian dan pejabat daerah masing-masing,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, antara kandungan utama MIKM Tahap 1 ialah pengenalan kepada peranan KMKK, pemahaman asas mengenai integriti dan pembentukan identiti KMKK sebagai ikon integriti masyarakat.
“Sementara itu, MIKM Tahap 2 memberi penekanan kepada isu salah laku integriti, tatakelakuan KMKK dan kemahiran membuat keputusan yang berkesan.
“Tahap ini bersifat lebih komprehensif dan bertujuan memperkukuh ilmu serta kefahaman yang diperoleh dalam Tahap 1, khususnya berkaitan undang-undang, cabaran integriti dan penyelesaian isu dalam komuniti,” tambahnya.
Oleh Earl Anek