
SIBU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek mencatat peningkatan sebanyak 15 peratus dalam bilangan pelajar yang memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Susulan pencapaian membanggakan itu, seramai 269 pelajar dari empat sekolah menengah di kawasan berkenaan menerima insentif tunai berjumlah RM97,000.
Sekolah terlibat termasuk SMK Sacred Heart, SMK Bukit Assek, Sekolah Menengah Katolik dan SMK Methodist dengan SMK Methodist mencatat bilangan penerima tertinggi, iaitu seramai 128 pelajar, melibatkan jumlah insentif sebanyak RM44,600.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, berkata amat berbangga dengan pencapaian tersebut dan menekankan kepentingan setiap usaha yang ditunjukkan oleh pelajar.
“Saya sangat bangga dengan anda semua. Saya ingin setiap pelajar mengingati bahawa setiap pencapaian itu penting, dan setiap usaha itu dihargai. Kepada mereka yang belum menerima anugerah hari ini, jangan berputus asa.
“Belajarlah dari pengalaman, teruskan berusaha untuk memperbaiki diri. Masa anda akan tiba,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah Insentif SPM yang diadakan di SMK Methodist, hari ini.
Menurut Chieng, pencapaian itu membuktikan keberkesanan inisiatif galakan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2022, yang bertujuan memberi ganjaran kepada pelajar yang berusaha gigih serta mengiktiraf pencapaian mereka.
“Melalui program ini, saya ingin memberi inspirasi kepada pelajar agar percaya pada diri sendiri, berani menghadapi cabaran, dan melihat pembelajaran sebagai satu perjalanan sepanjang hayat.
“Kita mahu pupuk rasa ingin tahu, keberanian dan komitmen untuk memberi impak positif kepada masyarakat,” ujarnya.
Chieng turut berharap agar insentif ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga simbol dorongan yang mengingatkan pelajar bahawa usaha mereka dihargai dan impian mereka berbaloi untuk dikejar.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah, para guru dan ibu bapa atas sokongan berterusan dalam membentuk kejayaan pelajar.
“Mari kita terus bekerjasama untuk membina komuniti yang menghargai pendidikan, meraikan kecemerlangan, dan memberi peluang kepada setiap anak untuk bersinar.
“Saya berharap untuk melihat lebih ramai pelajar berdiri dengan bangga di atas pentas ini pada masa akan datang,” katanya.
Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Pengetua SMK Methodist, Philip Ling.
Oleh Tarani Lanting