
SIBU: Golongan belia di Sarawak, khususnya dari Sibu, diseru agar tampil mencalonkan diri atau individu lain dalam Anugerah Ten Outstanding Young Malaysians 2025 (TOYM 2025), satu pengiktirafan berprestij terhadap sumbangan anak muda kepada masyarakat dan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, program anjuran Junior Chamber International (JCI) itu bukan hanya menghargai pencapaian individu, malah memberi penekanan terhadap impak positif yang dibawa oleh golongan muda kepada komuniti sekeliling.
“Saya menyeru anak-anak muda yang cemerlang di Sibu, calonkan diri anda atau individu yang anda percaya layak. Kadangkala kita perlu mencabar diri untuk tampil ke hadapan kerana kesan positif mereka sangat besar terhadap masyarakat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, pencalonan ke TOYM membuka ruang kepada anak muda untuk dikenali bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa.
“Proses ini memberi peluang kepada kita melangkah lebih jauh. Seperti penerima anugerah kita, Leong Kia Chun, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Taka Patisserie, beliau akan mewakili Malaysia dalam TOYM peringkat dunia dan berpeluang bertukar pengalaman dengan anak muda dari seluruh dunia,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur TOYM 2025, Candy Yong berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 200 pencalonan tahun ini, dengan 100 daripadanya dari Sarawak.
“Setakat ini hanya satu pencalonan diterima dari Sarawak. Mungkin kerana orang Sarawak merendah diri. Namun, kami yakin negeri ini penuh dengan bakat tersembunyi—pemimpin muda, inovator, pendidik, penggiat seni, dan wira harian,” katanya.
Tambah beliau, JCI Miri diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi Malam Anugerah Kebangsaan dan Forum TOYM 2025, yang akan diadakan buat julung kalinya di Sarawak.
“Mengangkat tema “Mengorak Perubahan, Menginspirasi Generasi”, TOYM 2025 memberi penghargaan kepada individu muda yang bukan sahaja berjaya, tetapi turut memainkan peranan membentuk masa depan lebih baik melalui inovasi, kepimpinan dan khidmat masyarakat.
“Sejak diperkenalkan pada 1985, program ini telah mengiktiraf lebih 300 rakyat Malaysia cemerlang termasuk Tan Sri Michelle Yeoh, Datuk Lee Chong Wei, Nicol David, dan Dato’ Dr Teh Tai Yong,” ujarnya.
Sehubungan itu, pencalonan dibuka sehingga 30 Jun 2025 dengan yuran pendaftaran sebanyak RM1,200 bagi setiap pencalonan yang boleh dikemukakan secara dalam talian.
“Kita tidak harus gentar berada di pentas kebangsaan. Inilah masanya untuk kita bersinar, memimpin, dan memberi inspirasi,” kata Candy.
Oleh Tarani Lanting