
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini menzahirkan penghormatan terakhir kepada wartawan veteran, mendiang James Ritchie di Dewan Serbaguna Gereja St. Thomas.

Ketibaan Tun Wan Junaidi dan isteri sekitar 10.05 pagi tadi disambut oleh balu mendiang serta anaknya, dalam suasana penuh sayu namun sarat dengan penghargaan terhadap jasa besar yang telah ditaburkan oleh mendiang sepanjang hayatnya.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah meluangkan sekitar 20 minit memberikan penghormatan terakhir, sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan mendiang terhadap dunia kewartawanan dan pembangunan naratif sejarah negeri ini.

Mendiang James Ritchie bukan sekadar seorang wartawan, tetapi juga seorang sejarawan tidak rasmi yang memainkan peranan penting dalam merakam dan mendokumentasikan sejarah serta budaya Bumi Kenyalang.
Dedikasi beliau terhadap penulisan mengenai masyarakat peribumi, tokoh-tokoh tempatan dan pembangunan negeri menjadikan beliau antara figura penting dalam landskap kewartawanan dan naratif sejarah Sarawak.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak pada Sabtu lalu, meninggalkan legasi kewartawanan yang sukar dicari ganti.
Mendiang akan disemadikan di Taman Peringatan Nirvana, Bau, hari ini. – UKAS