
MATU: Kira-kira 3,000 orang membanjiri Dewan Masyarakat Kampung Tian di sini hari ini untuk majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi popular tanah air.

Ratu Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, Noraniza Idris bersama 10 penari ciliknya, penyanyi sensasi, Baby Shima dan penyanyi AF8, Allif menarik perhatian orang ramai dari Daerah Matu, Daro dan Pulau Bruit selain mereka dari bandar Sarikei dan Sibu.
Kehangatan lagu Bujang Sarawak nyanyian Shima mengegarkan Dewan Masyarakat yang penuh sesak, sehangat cuaca di luar. Shima turut membawa lagu Ikatan Asmarea, Suasana Hari Raya dan Stecu.

Noraniza yang juga dikenali sebagai Ratu Pop Tradisional memeriahkan lagi suasana dengan lagu irama Malaysia – Selapin Pusaka dan Ngajat Tampi. Aliff AF8 turut berduet dengan Shima.
Terdahulu, pertandingan akhir karaoke tertutup Matu-Daro membabitkan finalis lapan peserta lelaki dan lapan wanita diadakan. Acara pertandingan untuk khemah berhias Ramah Tamah Aidilfitri 2025 membabitkan 25 gerai, turut diadakan.
Yang paling ditunggu-tunggu orang ramai adalah cabutan bertuah dengan lima motosikal untuk dimenangi.
Hadir menyampaikan hadiah ialah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi. Program dan semua acara ditaja oleh bekas Ahli Parlimen Igan, Dato Sri Wahab Dolah.
Oleh Kadir Dikoh


