
BINTANGOR: Koperasi sekolah merupakan makmal kehidupan yang membentuk nilai keusahawanan dan kepimpinan pelajar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, selain menjual barangan keperluan, koperasi sekolah memainkan peranan besar dalam mendidik pelajar tentang kejujuran, tanggungjawab dan kerja berpasukan merupakan ciri-ciri penting dalam membentuk generasi pemimpin masa depan.
“Koperasi sekolah bukan sekadar sebuah kedai. Malah ia adalah makmal kehidupan.
“Disinilah anak-anak diasuh menjadi insan yang bijak mengurus, tahu menilai untung rugi dan yang paling penting, membina nilai diri.
“Melalui koperasi, pelajar tidak hanya belajar menjual barang, tetapi juga belajar tentang kejujuran, tanggungjawab, kerja berpasukan dan etika keusahawanan,” katanya ketika berucap pada Hari Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tong Hua 2025, semalam.
Tambahnya, jualan koperasi seperti adalah peluang keemasan untuk pelajar mengaplikasikan teori dalam bentuk tindakan.
“Mereka merancang, mengurus dan berinteraksi. Ini adalah kemahiran sebenar yang bakal membentuk mereka menjadi pemimpin masa depan berkaliber.
“Syabas diucapkan kepada seluruh warga SMK Tong Hua atas inisiatif murni ini.
“Semoga semangat koperasi terus subur, menjadi budaya yang mendidik dan membina,” katanya.
Beliau turut mengumumkan akan menyalurkan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM2,000 kepada Koperasi Sekolah SMK Tong Hua dan geran khas MRP sejumlah RM5,000 untuk menjalankan aktiviti tahunan sekolah tersebut.
Selain itu, Koung Hiing juga mengumumkan akan menyalurkan geran khas MRP sebanyak RM3,000, masing-masing kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tong Hua, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tulai dan SK Sungai Kawi.
“Manakala untuk skrin LED Dewan SMK Tong Hua akan disertakan dalam Permohonan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP),” katanya.
Turut hadir wakil Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Mahathir Mahdini; Pengetua SMK Tong Hua, Law Sie Ngo; Penasihat Lembaga Pengurus Sekolah, Datuk Wong Kie Sing, Ngu Tien Ee, Anna Ting Poh Sing dan Tiong Kieng Huat; wakil Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah, Wong Sung Sing; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tong Hua, Soo Kwok Chiong dan paderi sekolah, Pastor Edwin Lai Kok Wei.
Oleh Earl Anek