
BINTANGOR: Seramai 33 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Assan Nunggang telah menyertai program latihan keselamatan kebakaran, semalam.
Program bermula 9.00 pagi tersebut dikendalikan oleh 11 orang anggota bomba yang diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin.
Mahmudin berkata, daripada jumlah peserta, 24 murid, tujuh orang guru dan dua staf sokongan sekolah.
“Antara pengisian utama adalah ceramah kesedaran keselamatan kebakaran, taklimat pencegahan kebakaran, latihan pengungsian bangunan secara simulasi serta demonstrasi pemadaman api menggunakan alat pemadam api.
“Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada warga sekolah tentang langkah-langkah keselamatan dan tindakan pantas yang perlu diambil sekiranya berlaku insiden kebakaran,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, latihan tersebut penting kerana ia melatih minda untuk tidak panik dan bertindak mengikut prosedur yang betul, terutamanya kepada murid sekolah rendah sekiranya berlaku kecemasan kebakaran di sekolah.
“Pendedahan awal mampu menyelamatkan nyawa dan mendorong kepada tindakan pantas dan tersusun ketika berlakunya kecemasan sebenar.
“Alhamdulillah, program berjalan dengan lancar serta mendapat kerjasama baik daripada pihak sekolah.
“Ini sekali gus menunjukkan komitmen bersama dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga sekolah terhadap risiko kebakaran,” katanya.
Oleh Earl Anek