
LAWAS: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Limbang telah mengeluarkan notis kepada penduduk di Lawas supaya menyimpan stok air berikutan paras air Sungai Batang Trusan yang kini berada pada tahap bahaya.
Setakat ini, paras air masih kekal di tahap bahaya, namun pam di rumah pam Loji Rawatan Air Trusan masih belum ditenggelami air sungai tersebut.
Pihak JBALB terus menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan operasi pembekalan air kepada penduduk di daerah Lawas berjalan seperti biasa.
Hasil tinjauan Utusan Sarawak mendapati, sehingga kini belum ada sebarang operasi pemindahan mangsa banjir ke pusat penempatan sementara di Dewan Masyarakat Trusan.
Oleh Adeng Edrus