Kaca pelindung skrin telefon retak dan bahayanya

Facebook
WhatsApp
FOTO Telefon retak

RAMAI pengguna mengambil mudah keretakan kaca pelindung skrin telefon pintar mereka dengan melengah-lengahkan pembaikan, selagi kerosakan itu tidak menjejaskan fungsi peranti.

Mungkin tidak cakna, tetapi keretakan kaca pelindung skrin itu boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna, kata pakar perubatan.

“Retakan kaca itu boleh menghiris kulit kita, menyebabkan luka terbuka dan berdarah. Lebih bahaya jika serpihan halus kaca turut tertusuk ke dalam luka tersebut yang berisiko menyebabkan jangkitan kuman dan seterusnya bernanah,” kata Prof Dr Shalimar Abdullah.

Berkongsi pandangannya dengan Bernama, Pakar Bedah Tangan dan Mikrosurgeri di Jabatan Ortopedik dan Traumatologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz itu berkata sekiranya luka kecil tersebut tidak dirawat dengan betul, wujud risiko komplikasi lebih berat seperti jangkitan dalaman dan kerosakan tisu.

“Apabila ini berlaku, rawatan berkemungkinan ialah pembedahan kecil bagi mengeluarkan serpihan kaca itu,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial kes seorang pembaik telefon yang lengannya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman, selepas serpihan halus kaca memasuki luka yang dialaminya ketika membaiki skrin LCD telefon pelanggan.

Menurut Dr Shalimar, dalam kebanyakan kes ringan, hirisan akibat terkena retakan kaca boleh dibersihkan sendiri dengan antiseptik sebelum dibalut kemas.

“Namun sekiranya muncul tanda-tanda seperti bengkak, kemerahan atau nanah, rawatan perubatan segera adalah langkah terbaik untuk mencegah jangkitan daripada merebak,” jelasnya, menambah kecederaan sedemikian bagaimanapun amat jarang berlaku.

Sementara itu, seorang pengguna mengakui dia hanya menukar kaca pelindung skrin tersebut selepas keretakan semakin teruk dan mula mengganggu penggunaan hariannya.

“Saya tetap guna (telefon tersebut) dalam tempoh yang agak lama kerana mahu jimatkan kos. Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu jari saya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Begitupun saya akui memang tidak selesa gunakan telefon tersebut, selain perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan insiden tidak diingini,” kongsi Juwita Halim, 40. — Bernama

Menala hati

KEHIDUPAN manusia boleh kita kaitkan sebagai persamaan dengan sebuah alat muzik. Setiap tindakan melahirkan kesan, setiap perkataan meninggalkan getaran dan

Menyemai ukhuwah, memperkukuh perpaduan

PERPADUAN merupakan satu sumber kekuatan dalam masyarakat. Malaysia dibina atas latar masyarakat yang berbeza dari sudut kaum, agama, bahasa dan

Hati Meniti

HATI ialah ruang paling dalam pada diri manusia. Wajah boleh tersenyum, tutur kata boleh kedengaran tenang dan langkah boleh kelihatan