KUALA LUMPUR: Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo, meneruskan permulaan yang positif selepas tamatkan sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar Jerez, pada Jumaat pada kedudukan memberangsangkan.
Morbidelli, yang baru-baru ini menyambung kontraknya sehingga 2022, mencatatkan 1 minit 38.15 saat (s) untuk berada di tempat ke-12, manakala Quartararo di tempat ke-15 (1:38.152s).
“Ini hari yang bagus untuk kami, kami konsisten pagi ini dan kami agak pantas pada sebelah petang. Saya gembira dengan prestasi keseluruhan yang kami tunjukkan hari ini (semalam),” kata Morbidelli dalam kenyataan dikeluarkan pasukan itu.
“Kami perlu siapkan semua dan keutamaan kami esok ialah untuk terus layak ke Q2, sebelum kami fikirkan mengenai tayar mana akan digunakan untuk perlumbaan.
“Perlumbaan tahun lepas di sini baik untuk kami dan dengan prestasi yang ditunjukkan setakat ini, saya yakin untuk sesi kelayakan esok,” kata pelumba dari Itali berusia 25 tahun itu.
Sementara itu, Quartararo mendedahkan yang beliau bergelut dengan jenteranya, tetapi berjaya mengatasinya, untuk memperbaiki catatan masa pada sesi petang.
“Kami ke sini dengan motosikal baru berbanding tahun lepas, tiada sesi ujian pada awal musim dan sebab itulah saya bergelut pada pagi ini.
“Kami perlu lakukan satu demi satu dalam melakukan pembaikan, tetapi tidak sabar untuk esok di mana kami boleh baiki catatan masa, sebelum sesi kelayakan dan saya rasa yakin,” kata pelumba berusia 21 tahun itu.
GP Sepanyol akan diteruskan dengan dua lagi sesi latihan dan diikuti dengan sesi kelayakan pada Sabtu (18 Julai) dan perlumbaan sebenar pada Ahad, 19 Julai. -Bernama