
KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan memohon seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor pada Februari lepas, dirujuk kepada pakar psikiatri.
Peguam Lingswaran Singh yang mewakili tertuduh berumur 19 tahun itu memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Ampang Norshila Kamarudin bahawa permohonan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) bagi merujuk tertuduh ke hospital untuk penilaian psikiatri.
“Sepanjang kami berinteraksi dengan tertuduh dan setelah dimaklumkan oleh ibu tertuduh serta disokong dengan penilaian psikologi, tertuduh menunjukkan tingkah laku dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menimbulkan keraguan munasabah.
“Kesemua perbuatan itu menunjukkan tertuduh berkemungkinan besar mengalami masalah kewarasan dan tidak berupaya membela diri,” kata peguam itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi status laporan pemeriksaan kesihatan mental tertuduh, laporan perubatan mangsa dan laporan rakaman forensik kamera litar tertutup (CCTV).
Pada prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memaklumkan kepada mahkamah terdapat dokumen yang masih belum siap, iaitu laporan forensik CCTV serta laporan perubatan mangsa dari Hospital Selayang.
Sebelum ini, tertuduh menukar pengakuannya kepada tidak bersalah semasa sebutan kedua kes pada 27 Mac, walaupun dia sebelum itu mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun lapan bulan bagi maksud seksual di sebuah masjid di Batang Kali pada 6.20 pagi, 21 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat, jika disabitkan kesalahan. -Bernama