KUCHING: Penantian 60 tahun penduduk Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur untuk menikmati bekalan air secara terus ke rumah bakal berakhir pada suku pertama tahun 2021.
Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia selepas Projek Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi Zon 1 dikedua-dua kampung diluluskan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“Dengan pelaksanaan projek ini masalah bekalan air yang sering dialami oleh penduduk di Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur, Telaga Air selama ini akan diselesaikan,” katanya.
Menurutnya, projek tersebut bakal memberi manfaat kepada 200 penduduk di kedua-kedua kampung yang selama ini hanya bergantung kepada air hujan dan air bersih menerusi tangki.
“Projek bekalan air ini memang dinanti-nantikan penduduk kampung di kedua-dua kampung ini.
“Insha Allah ia akan menjadi kenyataan kepada penduduk Kampung Sibu Laut dan Sungai Aur yang tidak lama lagi akan menerima bekalan air terus dari loji bekalan air di Telaga Air dan terus ke rumah masing-masing menjelang suku pertama tahun depan ,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi Zon 1 Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur Kuching, di Esplanade Telaga Air, di sini, kelmarin.
Sehubungan itu, Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, pembangunan kemudahan asas di kedua-dua kampung hampir lengkap selepas bekalan elektrik disalurkan sejak tiga tahun lepas.
“Apabila kedua-dua kemudahan asas ini (elektrik dan air) dibangunkan di sesebuah penempatan, maka pelbagai aktiviti dapat terus dibangunkan,” ujarnya.
Projek yang bernilai lebih RM4 juta itu yang dibiayai Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) melibatkan kerja-kerja pembinaan saluran paip baharu, pembinaan saluran paip dasar laut yang merentasi Sungai Sibu Laut ke Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur serta pembinaan Inline Booster Pump Station.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar ll, Dato’ Henry Sum Agong; Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Chang Kuet Shian; Pengarah Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sarawak, Mahathir Bujang; dan Jurutera Kanan mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Utilti Sarawak, Kueh Li Li.
Oleh Cheryl Law