
KUCHING: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sarawak mempunyai jumlah keahlian seramai 12,300 orang ahli dan juga merupakan yang terbesar di antara 22 cawangan dan sudah tentu menjadikan ia adalah satu institusi yang unik dan luar biasa.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata sebagai persatuan veteran terbesar di negara ini, sudah tentu banyak cabarannya terutama sekali dalam menjalankan tanggungjawab dan peranan PVATM dalam menjaga kebajikan, memperjuangkan hak-hak, memupuk semangat perpaduan amat dan sebagainya.
“Namun begitu, semua ini amat dihargai oleh semua lapisan masyarakat. PVATM seperti yang saya sedia maklum merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang mewakili dan memperjuangkan kebajikan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kalau tidak silap saya PVATM juga merupakan salah satu persatuan yang tertua di Malaysia dan telah melalui beberapa penjenamaan semula, termasuk sebagai Persatuan Bekas Perajurit Malaysia (PBPM) dan Bekas Tentera Malaysia (BTM) sebelum dikenali sebagai PVATM.
“Namun begitu, saya memahami cabaran yang dihadapi oleh PVATM negeri Sarawak, terutamanya dari sudut kewangan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti dan misi organisasi tersebut seperti menjalankan program kebajikan, program menyantuni veteran yang memerlukan dan sebagainya.
“Sudah tentu semua ini memerlukan komitmen, kerjasama dan juga dana yang agak besar. Namun begitu, saya percaya dengan dedikasi dan komitmen, semua ini akan dapat diatasi. Saya juga mendoakan agar organisasi ini akan terus memberi khidmat bakti kepada ahli-ahlinya dan juga masyarakat setempat dan semoga ahli-ahlinya sentiasa sihat walafiat selalu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-67 PVATM di salah sebuah hotel terkemuka dekat sini, semalam.
Doris berkata pengorbanan anggota tentera serta veteran tentera sanggup menggadai nyawa di hujung senapang demi mempertahankan keselamatan dan keamanan negara harus dihargai semua lapisan masyarakat hari ini dan pada masa akan datang.
Beliau berkata mungkin tidak ramai masyarakat termasuk beliau sendiri berada dalam keadaan seorang anggota tentera yang sanggup berjuang semata-mata untuk keamanan dan keselamatan negara.
“Sesungguhnya nilai pengorbanan itu tidak dapat dibayar dengan apa jua sumbangan dan bantuan, melainkan hanya sebagai satu penghargaan,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Doris turut menyumbangkan dana sebanyak RM8,000 kepada PVATM negeri Sarawak.
“Saya berharap peruntukan ini sedikit sebanyak dapat meringankan cabaran kewangan yang dihadapi, dan pada masa yang sama, menyokong usaha murni PVATM dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada ahli-ahlinya,” katanya.
Turut hadir Presiden PVATM Malaysia, Kapten Datuk Sharuddin Omar, Yang Dipertua PVATM negeri Sarawak, Jimbau Galau dan Penasihat PVATM negeri Sarawak, Dato Peter Runin.
Oleh Adi Safarman