
SARIKEI: Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarikei telah menjalankan pemeriksaan prestasi terhadap sebuah projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Kuala Rajang yang dilaksanakan di Kampung Selalang.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pemeriksaan tersebut turut disertai oleh Shahrizal Sapari dan Baijuri Jauji yang mewakili DID Sarikei serta pihak N41 Kuala Rajang.
“Pemantauan berkenaan adalah bagi menilai kemajuan beberapa inisiatif pembangunan infrastruktur yang membabitkan projek bina baharu padang futsal Kampung Selalang.
“Projek naik taraf Dewan Kampung Selalang yang melibatkan pemasangan pendingin hawa tambahan, pemasangan papan suis utama (MSB) dan penaiktarafan transformer dengan kos RM300,000,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook beliau, baru-baru ini.
Katanya, projek pembinaan gelanggang serbaguna serta kerja penyelenggaraan padang sukan juga dijangka memberi impak besar kepada aktiviti riadah dan pembangunan belia di kawasan tersebut dan memperkasa prasarana luar bandar.
Sementara itu, katanya, turut serta dalam lawatan tapak bagi naik taraf jalan dari Rumah Merupi ke Rumah Resat, Sare bersama Asmawadi dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei ialah Penghulu Bidai dan Tuai Rumah Resat.
Oleh Earl Anek