

FOKUS….ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing mendengar isu dan keperluan penduduk rumah panjang.
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing mengadakan lawatan Pra Gawai pada hari keenam ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Meradong, dengan memberi tumpuan kepada mendengar masalah dan keperluan rakyat luar bandar.
Lawatan tersebut, yang turut disertai rombongan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, bukan sekadar kunjungan sempena perayaan, tetapi juga bertujuan memperkukuh hubungan dengan penduduk setempat serta memahami isu yang dihadapi oleh masyarakat di kawasan DUN Meradong.

“Saya amat berterima kasih atas sokongan berterusan daripada penduduk rumah panjang terhadap wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Adanya wakil GPS di DUN dan Parlimen membolehkan pembangunan diteruskan secara konsisten, sekali gus memastikan pelbagai insentif kerajaan sampai kepada semua lapisan rakyat,” katanya ketika berucap semasa lawatan tersebut pada semalam.
Koung Hiing turut menekankan usaha berterusan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memperkasa pembangunan kawasan luar bandar dan pesisir.
“Pelbagai inisiatif seperti Kenyalang Gold Card (KGC), bantuan perubatan warga emas, pendidikan percuma untuk pelajar universiti serta insentif Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) telah diperkenalkan untuk kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Sarawak komited memastikan setiap lapisan masyarakat di Sarawak menerima manfaat secara adil dan saksama,” katanya.
Turut hadir ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) serta penduduk rumah panjang.
Oleh Earl Anek