
TOKYO: Bilangan pengunjung ke Ekspo Dunia di Osaka mencecah 1.02 juta orang pada Jumaat, hari ke-13 acara itu berlangsung, lapor Agensi Berita Kyodo memetik penganjur.
Penganjur menyasarkan lebih 28 juta pengunjung sepanjang acara enam bulan yang berlangsung sehingga 13 Oktober di Yumeshima, sebuah pulau buatan di Teluk Osaka.
Hari paling sibuk dicatatkan pada 13 April, apabila 124,000 orang mengunjungi tapak ekspo, namun jumlah itu kekal di bawah 100,000 orang sejak itu.
Purata harian sekitar 150,000 pengunjung diperlukan untuk mencapai sasaran 28 juta, menurut penganjur, menekankan keperluan untuk meningkatkan usaha promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Pada Rabu, penganjur mengadakan satu majlis bagi meraikan kehadiran 1 juta pengunjung ke ekspo, berdasarkan kiraan yang turut mengambil kira pekerja dan anggota media.
Kali terakhir Jepun menjadi tuan rumah ekspo, iaitu di Aichi pada 2005, jumlah 1 juta pengunjung dicapai selepas 17 hari pembukaan.– Bernama-Kyodo