
SIBU: Pelajar Kolej Vokasional disaran agar memanfaatkan sepenuhnya peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan, selari dengan aspirasi pembangunan negeri Sarawak.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperkenalkan pelbagai inisiatif berimpak tinggi dalam sektor baharu seperti tenaga hidrogen, pengangkutan bas pintar serta industri aeroangkasa.
“Ini adalah peluang keemasan kepada para pelajar untuk melibatkan diri dalam bidang TVET dan membina kerjaya yang kukuh. Namun begitu, kejayaan tidak akan hadir tanpa kemahiran.
“Soalnya, jika kita tiada kemahiran, siapa yang akan menggaji kita? Gunakanlah peluang belajar di kolej ini untuk memperoleh sijil kemahiran dan membina masa depan. Yang paling penting, jauhi sifat malas – kerana malas adalah musuh utama manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Rumah Terbuka Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jubli Emas Kolej Vokasional Sibu di Dewan Seri Permata, hari ini (26 April).
Gerald turut menegaskan keperluan untuk memperkasa diri dalam era teknologi semasa yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), dan menggesa pelajar agar bukan sahaja berilmu tetapi turut memiliki pengalaman serta keupayaan menilai perkara yang benar dan salah.
Mengulas mengenai sambutan Jubli Emas kolej itu, beliau berkata sepanjang 50 tahun penubuhannya, Kolej Vokasional Sibu telah melahirkan ramai alumni berjaya yang memberi sumbangan dalam pelbagai sektor.
“Ini jelas membuktikan bahawa kolej ini menjadi tunjang utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi demi pembangunan negeri dan negara.
“Saya menggesa agar barisan pendidik dan para pelajar terus berusaha mencapai cita-cita yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Sibu bagi menyokong usaha memajukan pendidikan di institusi tersebut.
Oleh Tarani Lanting