
SIBU: Penggabungan tiga lembaga air di Sarawak bakal memberikan manfaat yang lebih baik kepada kakitangan mereka, dengan penggabungan itu dijangka akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jun depan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, proses penggabungan itu yang kini sedang dimuktamadkan dan dianalisis melibatkan Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu (LAS), dan Sarawak Water Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai LAKU Management Sdn Bhd).
“Kajian mendalam telah dijalankan dan berdasarkan maklumat awal yang saya terima, saya percaya anda akan diberikan tawaran yang lebih baik.
“Akan ada pencen, gaji lebih baik, dan saya juga dimaklumkan bahawa faedah KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) akan ditambah baik.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan butirannya buat masa ini, kerana anda akan dimaklumkan secara rasmi,” katanya ketika berucap pada majlis Hari Raya LAS, malam tadi.
Katanya, sesi town hall mengenai penggabungan itu yang melibatkan semua kakitangan akan diadakan memberi pemahaman yang lebih baik mengenai rancangan itu.
“Bagi anda yang masih rasa tidak pasti, sila maklum bahawa kami komited untuk menjaga kebajikan anda. Kami tahu apa yang terbaik untuk anda.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, penggabungan ini berdasarkan model Sarawak, bukan sesuatu yang diimport dari tempat lain, kerana kita tahu bahawa apa yang kita lakukan di Sarawak adalah yang terbaik untuk Sarawak.
“Ia mungkin bukan yang terbaik untuk mereka di luar Sarawak, tetapi itulah formula yang kita gunakan,” kata beliau.
Pada majlis itu, seramai 31 kakitangan LAS menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi 2023 dan 2024, manakala 10 lagi menerima Anugerah Khidmat Lama kerana telah berkhidmat selama 20 dan 30 tahun masing-masing.
Turut hadir, Pengurus Besar LAS, Abdul Malik Abdullah @ Itin Langit serta yang lain.
Oleh Akun Giman