
Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona hanya mahu meneruskan rawatan di rumah selepas pembedahan. - Foto AFP
SAN ISIDRO, Argentina: Diego Maradona pesakit ‘yang amat sukar’ dan perlu dipujuk untuk mendapatkan rawatan, pakar bedah memberitahu mahkamah ketika perbicaraan membabitkan tujuh pegawai perubatan yang didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian legenda bola sepak itu.
Maradona meninggal dunia pada 25 November, 2020 di usia 60 tahun, ketika dalam proses pemulihan di rumahnya selepas pembedahan darah beku di otaknya.
Pasukan perubatan yang merawatnya dibicara kerana cuai sehingga menyebabkan kematian pada hari-hari terakhir Maradona di rumahnya di Buenos Aires.
Maradona meninggal dunia kerana kegagalan jantung dan ‘acute pulmonary edema’ – keadaan di mana cecair berlebihan terkumpul di paru-parunya – dua minggu selepas menjalani pembedahan.
Salah satu persoalan ditimbulkan pihak pendakwaan adakah keputusan membiarkan Maradona menjalani proses pemulihan di rumah berbanding hospital membahayakan kesihatannya.
Pakar bedah, Rodolfo Benvenuti mengetuai pembedahan Maradona.
Dia memberitahu mahkamah yang cukup sukar untuk meyakinkan Maradona bagi menjalani imbasan CT (Tomografi berkomputer) sebelum pembedahan.
“Dia pesakit yang amat sukar,” kata Benvenuti.
Menurutnya, Maradona mahu segera meninggalkan klinik selepas pembedahan dan hanya mahu menerima rawatan di rumahnya.
Dia percaya Maradona memerlukan pemantauan setiap hari oleh doktor. Tetapi bukti menunjukkan pasukan perubatannya hanya meletakkan lawatan seminggu sekali oleh doktor.
Perbicaraan di San Isidro yang bermula sejak 11 Mac dijangka berlarutan sehingga Julai. – AFP