BEKENU : Jentera pilihan raya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi sudah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Sarawak pada bila-bila masa.
ADUN Marudi Datu Dr Penguang Manggil berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak di sini baru-baru ini.
Katanya, jentera pilihan raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) Marudi sudah bersedia untuk menghadapi PRN yang akan datang.
“Bagi saya, setiap minggu dan bulan merupakan pilihan raya, ini kerana saya sentiasa berada di kawasan bersama rakyat.
“Berkenaan dengan tentangan daripada calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) terhadap GPS di kerusi DUN Marudi, kita serahkan kepada rakyat untuk menentukannya”, jelasnya.
Menurut beliau, rakyat tentu lebih arif dan pandai memilih calon sebagai wakil kawasan mereka berdasarkan tanggungjawab masing-masing.
“Rakyat akan menilai siapa wakil rakyat dan membuat perbezaan pembangunan selama kawasan mereka diterajui saya dan GPS berbanding dengan PSB yang telah menerajui DUN Marudi selama 20 tahun.
“Rakyat akan menilai dari segi perkhidmatan dan pembangunan 20 tahun dengan saya yang baharu empat tahun”, jelasnya.
Jentera Marudi sudah bersedia bila-bila masa dan kami pun sudah bergerak di kawasan untuk menghadapi PRN kelak, katanya lagi.
Oleh Adum Liu