
KUCHING: Usaha memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus diberi keutamaan menerusi pelbagai inisiatif berfokuskan teknologi dan pendigitalan bagi memperkukuh keupayaan serta daya saing pemain industri tempatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan, bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman mudah dan geran akan terus disalurkan bagi menyokong keperluan modal PKS untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
Menurut beliau, kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti PKS agar mereka mampu menyesuaikan diri dengan landskap ekonomi digital yang sentiasa berubah.
“Fokus utama adalah kepada penggunaan teknologi maklumat serta penerapan inovasi digital dalam operasi harian syarikat,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC) Bil.1/2025 di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, inisiatif ini turut meliputi pembangunan platform digital, latihan peningkatan kemahiran pekerja serta pematuhan kepada prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Di samping itu, kerajaan juga aktif mempromosi PKS melalui penglibatan dalam pelbagai misi perdagangan dan pameran bagi membuka peluang pasaran lebih luas.
“Pejabat perdagangan seperti Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) dan di Brunei (STATOB) telah diwujudkan. Malah, pejabat serupa di Kalimantan kini dalam perancangan bagi mengukuhkan jaringan pasaran serantau,” ujarnya.
Beliau yakin dengan adanya jaringan ini, ia mampu menghubungkan terus usahawan tempatan ke pasaran luar, sekali gus meningkatkan potensi dan skala pasaran mereka.
Mesyuarat tersebut melibatkan kehadiran 80 wakil daripada 45 agensi Kerajaan Persekutuan dan 38 agensi kerajaan Negeri bagi menyelaraskan pelaksanaan dasar serta program keusahawanan di Sarawak.
Selesai mesyuarat, beliau turut menyaksikan penyerahan dana tambahan berjumlah RM5 juta kepada Agrobank bagi pelaksanaan Skim Kredit Mikro Sarawak bagi 2025.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Dzulkornain Masron, Penasihat MINTRED, Dato Sri Naroden Majais serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Oleh Amanda L