
KUCHING: Ekspo Hartanah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) 2025 yang dinanti-nantikan bakal membuka tirainya dari 22 hingga 24 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai platform hartanah terbesar di Sarawak.
Pengerusi Penganjur Ekspo merangkap Penolong Setiausaha Agung I SHEDA, Peter Lau Hui Han, berkata SHEDA mengumumkan bahawa pendaftaran awal bagi peserta pameran kini dibuka.
“Mereka yang mendaftar sebelum atau pada 6 Mei akan menikmati potongan harga yang menarik.
“Ahli SHEDA layak menerima diskaun sebanyak 10 peratus, manakala peserta bukan ahli akan menikmati potongan 8 peratus, tertakluk kepada bayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus semasa pendaftaran.
“Ekspo tahun ini tampil dengan reka bentuk baharu yang lebih dinamik bagi meningkatkan interaksi antara pengunjung dan peserta pameran,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan baru-baru ini.
Beliau turut menggalakkan pendaftaran awal agar peserta dapat memilih lokasi gerai yang strategik serta menikmati penjimatan maksimum.
Sebagai penghargaan kepada peserta setia, SHEDA turut menawarkan diskaun tambahan sehingga 9 peratus kepada mereka yang telah menyertai ekspo ini secara berturut-turut sejak tahun 2022. Selain itu, ahli SHEDA turut layak menerima diskaun eksklusif tambahan sebanyak 10 peratus.
Menariknya, edisi kali ini juga memperkenalkan SHEDA:ENCORE – sebuah platform persidangan selari yang dirangka untuk memperkasa pemain industri melalui sesi perkongsian ilmu, jaringan kerjasama, serta pendedahan kepada peluang baharu dalam sektor hartanah.
Untuk maklumat lanjut atau tempahan penyertaan, sila hubungi Florence di talian 016-578 9541 / 082-366 334, emel ke secretariat@sheda.org.my, atau layari laman web rasmi di www.sheda.org.my.