
LIMBANG: Amalan membaca mampu melahirkan warganegara yang berfikiran terbuka, kreatif dan berinovatif, sekali gus menjadikan rakyat lebih fokus dan rasional dalam membuat pertimbangan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata budaya membaca perlu dihidupkan semula agar rakyat Malaysia menjadi masyarakat yang berminda aktif dan berpengetahuan tinggi.
Katanya, Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 anjuran Pustaka Negeri Sarawak, Miri merupakan salah satu inisiatif terbaik dalam membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat.
“Program ini adalah usaha murni yang bukan sahaja sejajar dengan tuntutan agama, malah selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat berilmu dan berfikiran kelas pertama.
“Budaya membaca perlu dijadikan gaya hidup.
“Ia adalah langkah pertama ke arah kemajuan dan melahirkan individu yang berdaya maju serta matang dari segi pemikiran,” katanya ketika merasmikan Program Jom Baca 2025 Peringkat Wilayah Utara Sarawak di Dewan Kampung Bunga Raya, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal.
Turut hadir ialah Wakil Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak, Miri, Ahmad Samsudin.
Abdul Rahman turut menekankan bahawa kemajuan sesebuah negara dan ketamadunan bangsa sangat bergantung kepada budaya membaca yang diamalkan oleh rakyatnya.
“Bangsa yang rajin membaca ialah bangsa yang mencintai ilmu. Program ini juga menyumbang kepada perpaduan nasional apabila rakyat dari pelbagai latar belakang menyertai aktiviti membaca secara serentak.
“Amalan membaca menjadi asas kepada pembinaan bakat, kebolehan dan daya saing rakyat, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga intelek, ke arah kemajuan negara,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam era ledakan maklumat masa kini, penguasaan ilmu pengetahuan amat penting dan maklumat perlu ditapis serta dinilai dengan bijak.
“Kecerdasan minda kita sama ada akan meningkat atau merosot bergantung kepada kualiti maklumat yang diterima. Maklumat tidak boleh diterima bulat-bulat.
“Ia perlu diproses dan dinilai supaya benar-benar memberi manfaat dalam kehidupan seharian,” tambahnya.
Oleh Adeng Edrus