
LAWAS: Semua ketua jabatan, agensi dan badan pelaksana perlu berani memberikan input tepat kepada pihak atasan dalam merancang sesuatu projek di kawasan mereka.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ketelusan dalam memberi maklumat daripada pengurusan terendah hingga tertinggi perlu diaplikasikan dalam perancangan dan pelaksanaan sesuatu projek di bawah bidang kuasa jabatan atau agensi masing-masing.
Ini penting dalam memastikan pelaksanaan projek dapat memberi impak maksima kepada rakyat dan mampu mengelak berlakunya ketirisan atau pembaziran wang negara.
“Saya ingin menyeru kepada ketua-ketua jabatan, ketua-ketua agensi, badan-badan pelaksana jangan seratus peratus kita ikut sahaja daripada pihak atasan.
“Kita berhak untuk memberi input kenapa kita sediakan tapak baru untuk Sekolah Ulu Merapok kerana kita tahu tempat yang sedia ada ini telah dilaksanakan satu projek untuk satu blok pembinaan dan kalau hujan saja dia akan dilanda dengan banjir berkali-kali dalam setahun.
“Kalau peruntukan tidak cukup untuk buat sepenuhnya, janganlah membazir kita buatlah satu blok yang cukup dan secara berperingkat.
“Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi input-input dan kita mengemukakan cadangan-cadangan,” katanya demikian pada majlis perasmian blok asrama dan kuarters guru Sekolah Kebangsaan Ulu Merapok dan majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon Ulu Merapok, petang Isnin.
Awang Tengah turut menegaskan bahawa walaupun soal pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan, tetapi kerajaan Sarawak juga mempunyai hak untuk menyuarakan keperluannya dalam memastikan semua projek berkaitan pendidikan dapat dilaksana dengan penuh tanggungjawab.
Jelasnya, kebanyakan pembangunan infarstruktur pendidikan di Sarawak telah banyak menggunakan dana kerajaan Sarawak berbanding peruntukan Kerajaan Persekutuan yang lambat dan sukar untuk diluluskan untuk Sarawak.
Beliau meminta Pegawai Pendidikan Daerah untuk memberikan maklum balas kepada pihak kementerian berhubung keutamaan dalam membina blok bangunan sekolah di tapak baru yang telah disediakan kerajaan Sarawak.
Tapak sedia ada sememangnya kerap mengalami banjir kilat sepanjang tahun kerana kedudukannya yang rendah dan berhampiran anak sungai yang kecil.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Sam Laya serta Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi dan Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Latip.
Oleh Adeng Edrus