
BUNGIN: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Bahagian Betong kini bertambah kepada 98 buah berbanding sebelumnya hanya 96 buah KRT.
Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Betong, Thompson Ted berkata jumlah ini menghampiri jumlah KRT yang ada di bandar besar.
“Ini adalah sebagai bukti penduduk tempatan menyedari betapa pentingnya penubuhan KRT di kampung-kampung. Di tambah lagi Kementerian Perpaduan Negara dalam pelaksanaan KRT progresif menerusi pelbagai aktiviti seperti, aktiviti sosio ekonomi, rondaan kesukarelawan, kepimpinan, pendidikan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Gerak Rahmah: Sambutan Ramah Tamah Aidilfitri KRT Bahagian Betong 2025 bertempat di Dewan Pahlawan Tujuh Kampung Bungin, semalam.
Thompson berkata ia secara tidak langsung KRT progresif menjadi KRT terpilih menjadi lebih berdikari dan berdaya maju.
“Pihak jabatan kini dalam pelaksanaan satu keluarga satu anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dalam mana-mana KRT yang ada.
“Secara tidak langsung akan melibatkan dan mengalakkan ahli KRT setempat untuk turut serta bertugas menjaga keselamatan dan keharmonian dalam sesebuah kampung.
“Namun tugas ini bukan hanya dipikul oleh ahli KRT dan anggota SRS serta anggota keselamatan lain, namun penduduk tempatan juga perlu memainkan peranan menjaga keharmonian dan keselamatan bagi membantu pihak berkuasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Thompson turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam yang sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh KRT di kawasan Saribas dan berharap supaya KRT dapat bekerjasama dengan mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada.
Oleh Adi Safarman