
MIRI: Program mingguan ‘Mobile Service2U’ anjuran Pusat Khidmat DUN Senadin diteruskan bagi mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat di sini.
Semalam, Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin turun padang untuk mendekati masyarakat setempat, termasuk pengunjung di kedai kopi dan penjaja makanan sekitar di Permyjaya Food Centre.
“Sesi turun padang seperti ini bukan sahaja memberi ruang untuk mendengar suara rakyat secara langsung, malah membantu menyelesaikan isu memerlukan tindakan segera,” kata Kim Shin.
Menerusi program tersebut, beberapa penduduk tidak melepaskan peluang untuk mengemukakan pertanyaan dan memohon nasihat berkaitan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) serta polisi kebajikan yang lain.
Program Mobile Service2U ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Pusat Khidmat DUN Senadin dalam memastikan setiap suara rakyat terus didengari dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian.
Oleh Liong Chai Ling