
SIBU: Sebanyak 262 bot laju dijangka menggegarkan Sungai Rajang sempena penganjuran sulung Sibu International Powerboat Race 2025 (SIPBR 2025) yang berlangsung di Waterfront Pulau Li Hua dari 25 hingga 27 April ini.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, acara itu merupakan perlumbaan bot laju pertama diadakan di Sarawak bagi tahun ini, sekali gus membuka tirai kepada musim perlumbaan powerboat di negeri ini.
“SIPBR 2025 mengetengahkan tema ‘D’ Awakening of The Mighty Rajang River’, melambangkan kebangkitan semula Sungai Rajang yang sekian lama sunyi, kini dimeriahkan semula dengan deruman enjin bot laju yang penuh aksi dan adrenalin,” katanya pada sidang media, hari ini.
Acara itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu dengan kerjasama strategik Kelab Sukan Rekreasi Pulau Li Hua serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Li Hua.
Menurut Abang Mohamad, perlumbaan berprestij itu bakal menghimpunkan penyertaan dari seluruh Sarawak termasuk Sibu, Kapit, Kanowit, Dalat, Mukah, Bintulu dan Limbang, selain penyertaan dari negara jiran, Brunei Darussalam.
“Acara ini bukan sahaja menjadi medan pertarungan bot laju, malah turut menjadi platform pertembungan budaya dan semangat setempat, sekali gus meletakkan Sibu di radar pelancongan sukan air antarabangsa,” katanya.
Majlis perasmian SIPBR 2025 akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing pada 25 April ini.
Bagi memeriahkan lagi acara, penganjur turut menganjurkan TikTok Challenge dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Sibu, yang terbuka kepada semua.
Peserta hanya perlu memuat naik video kreatif sepanjang berlangsungnya SIPBR 2025 menggunakan tanda pagar #SIPBR2025 dan #SibuPowerboatRace.
Pemenang akan diumumkan pada 28 April dengan hadiah RM1,000 ditawarkan kepada video dengan tontonan tertinggi, manakala lapan video paling kreatif akan menerima RM500 setiap satu.
“Turut diadakan pelbagai aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, zumba, busking, persembahan hiburan santai serta cabutan tiket bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik,” katanya lagi.
Tambah beliau, SIPBR 2025 bukan sekadar acara sukan air semata-mata, malah berperanan sebagai pemacu integrasi komuniti, pelancongan serta penggalak ekonomi tempatan.
“Kita percaya SIPBR 2025 mampu melonjakkan nama Sibu sebagai destinasi sukan air bertaraf tinggi, bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa,” ujarnya sambil menzahirkan keyakinan acara itu berpotensi dijadikan acara tahunan.
Beliau turut menjemput orang ramai termasuk pelancong luar negara untuk hadir memeriahkan acara itu dan bersama-sama merasai kehangatan perlumbaan bot laju di samping menikmati keunikan budaya serta keindahan Sibu.
Oleh Tarani Lanting