
SEOUL: Tentera Udara Korea Selatan memaklumkan pada Sabtu mereka menemukan semula dua ‘gun pod’ yang terjatuh dari sebuah pesawat ringan KA-1 semasa latihan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Insiden berlaku pada malam Jumaat ketika pesawat itu menjalani latihan di ruang udara Pyeongchang, kira-kira 125 kilometer dari timur Seoul.
Selain dua ‘gun pod’, dua tangki bahan api kosong turut dilaporkan terjatuh dari pesawat.
Tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan akibat kejadian itu.
“Bermula 6 pagi hari ini, kami telah menggerakkan sebuah helikopter HH-60 dan kira-kira 270 anggota untuk menjalankan pencarian di kawasan yang telah dikenal pasti,” menurut kenyataan Tentera Udara menerusi pesanan teks kepada media.
Dua ‘gun pod’ berjaya ditemukan di kawasan pergunungan berhampiran kampung Jucheon di Yeongwol, Wilayah Gangwon.
Pod berkenaan terjatuh bersama mesingan dan 500 butir peluru hidup berkaliber 12.7 milimeter.
Bagaimanapun, dua tangki bahan api dan beberapa dozen peluru masih belum dijumpai.
“Ekoran hujan, kami akan menyambung operasi mengesan dan mendapatkan semula baki objek yang tercicir pada esok, dengan mengambil kira aspek keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Tentera Udara berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Tentera Udara sekali lagi memohon maaf atas kebimbangan yang timbul akibat insiden ini,” menurut kenyataan itu. – Bernama-Yonhap