
PETRA JAYA: Kemajuan pesat Sarawak memainkan peranan signifikan sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan ini dicapai hasil daripada kepimpinan negeri yang berwawasan, kestabilan politik serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Beliau menyifatkan Sarawak sebagai antara negeri paling aktif membangunkan infrastruktur dengan menggunakan dana sendiri, sekali gus menjadi contoh kepada negeri lain.
“Sarawak kini menjadi tumpuan kita. Ia merupakan satu-satunya negeri yang memperuntukkan dana sendiri dalam jumlah besar untuk pembangunan infrastruktur seperti jambatan, lebuh raya dan bekalan air.
“Selain itu, Sarawak kini berperanan sebagai hab tenaga serantau yang mempunyai potensi besar untuk merancakkan ekonomi bukan sahaja di peringkat domestik, malah di peringkat ASEAN dan global.
“Di mana-mana negara saya pergi — Eropah, China, Jepun atau negara ASEAN — Sarawak disebut-sebut sebagai negeri yang mempunyai potensi besar sebagai ‘energy hub of the region’,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 di Stadium Perpaduan, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji pendekatan proaktif kerajaan Sarawak dalam merealisasikan pembangunan Pusat Kanser Sarawak di Kuching.
Projek berimpak tinggi itu pada asalnya memerlukan peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada kerajaan Persekutuan.
“Salah satu contoh Sarawak menggunakan dahulu dana sendiri ialah dengan pembinaan Pusat Kanser di Kuching. Cadangan ini amat baik, namun masih baharu dan memerlukan peruntukan RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan.
“Namun hasil rundingan yang konstruktif antara kedua-dua pihak, kerajaan Sarawak bersetuju mendahulukan peruntukan RM 1 bilion tersebut bagi memastikan projek tersebut dapat dimulakan segera sementara Kerajaan Persekutuan akan membayar balik jumlah tersebut kemudian,” tambahnya.
Tambah beliau, sekiranya projek ini berjalan lancar, Pusat Kanser Sarawak diyakini akan menjadi hospital kanser terbaik di Malaysia dan bukti nyata kemampuan Sarawak dalam merancang dan melaksanakan pembangunan berimpak tinggi secara berdikari.
Selain itu, beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif pendidikan di negeri ini, termasuk projek pembinaan sekolah menengah dan sekolah kebangsaan baharu di Sarikei, Mukah, Sri Aman dan Saratok.
Langkah ini selaras dengan usaha memperkasakan pendidikan luar bandar dan melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.
“Kita mesti pastikan mutu pendidikan, latihan dan penyelidikan ditingkatkan. Di Sarawak, pendekatan ini telah pun digerakkan melalui pelan hala tuju yang memberi tumpuan kepada tenaga, gas dan latihan kemahiran anak muda,” jelasnya.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Speaker Dewan Undangan Negara, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan tetamu kehormat yang lain.
Oleh Rynna Sha’erra