NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Anggota keselamatan mengawal ketat dua buah hotel di sini (Rajah Court Dormani dan Hock Lee) yang dijadikan pusat kuarantin Orang Dibawah Pengawasan (PUS).
Hotel itu dijadikan pusat penempatan semua rakyat Sarawak yang pulang dari Luar Negara, Semenanjung, Sabah dan Labuan.
Tinjauan di hotel berkenaan semalam mendapati bangunan tersebut dipagari dengan garisan polis bagi memastikan tiada orang luar masuk ke kawasan itu.
Selain diawasi Polis DiRaja Malaysia (PDRM), PUS turut dikawal anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, seramai 91 PUS dikuarantinkan di Rajah Court Dormani manakala 86 di Hock Lee.
Menurut salah seorang pegawai polis yang tidak mahu namanya didedahkan, PUS dikuarantin selama 14 hari di kedua-dua hotel berkenaan.
“Tahap kesihatan mereka akan diperiksa setiap hari oleh pegawai kesihatan.
“Sekiranya menunjukkan simptom Covid-19, mereka akan dihantar ke tempat kuarantin yang menempatkan Orang Yang Disyaki (PUI),” katanya.
Difahamkan, hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan menghantar barang keperluan melalui pegawai kesihatan atau anggota APM yang bertugas di situ.
Kesemua PUS turut disediakan sarapan pagi, tengahari dan makan malam menerusi dana disediakan oleh kerajaan negeri.
Selain di Kuching, PUS juga menjalani kuarantin di Hotel Mega dan Somerset (Miri) dan Purnama (Limbang).