SIBU: Suasana penuh kemeriahan menyelubungi Dewan Lakis di sini malam tadi apabila lebih 100 tetamu hadir memeriahkan majlis ramah tamah Aidilfitri anjuran bersama Komuniti Madani Sri Rajang dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sibu.
Majlis tersebut diserikan dengan pelbagai acara hiburan seperti persembahan karaoke dan tarian, selain turut menyajikan pelbagai juadah tradisional.
Acara ini bukan sahaja menceriakan sambutan Syawal, malah turut mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Pegawai Penerangan Daerah Sibu, Zaini Morshidi, berkata program seumpama itu menjadi platform penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang latar belakang, khususnya dalam kalangan ahli Komuniti Madani.
“Majlis ini merupakan hasil kerjasama erat antara Komuniti Madani Sri Rajang dan PAWE Sibu. Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka sahaja, terdapat tiga Komuniti Madani yang aktif — iaitu Sri Rajang, Satria dan Bahagia Jaya, semuanya di bawah naungan Pejabat Penerangan Daerah,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapaee serta Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling.
Menurut Zaini, sebanyak 18 Komuniti Madani telah ditubuhkan di daerah Sibu termasuk kawasan Selangau, yang berperanan menyokong inisiatif kerajaan dalam menjayakan program pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Komuniti Madani Sri Rajang ini baru sahaja ditubuhkan tahun lepas, namun saya amat kagum dengan tahap komitmen mereka. Tahun ini, mereka antara yang paling aktif,” tambahnya.
Zaini turut memaklumkan bahawa satu lagi majlis sambutan Hari Raya akan diadakan malam ini bersama Komuniti Madani Satria di Kampung Jeriah.
Turut hadir ialah Pengerusi PAWE Sibu, Abang Hashim Abang Zainuddin, dan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Izkandar Roseley.
Oleh Tarani Lanting