
SARIKEI: Kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, apabila beliau tampil menyumbangkan katil pesakit boleh laras kepada individu yang memerlukan di sekitar kawasan Parlimen Sarikei dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.
Tiong Sii, yang juga Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, berkata sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan beliau untuk membantu pesakit yang terlantar di rumah.
“Saya mengambil serius setiap permohonan yang melibatkan keperluan rawatan di rumah, kerana saya sedar betapa mencabarnya menjaga ahli keluarga yang sakit tanpa kemudahan asas seperti katil pesakit boleh laras.
“Baru-baru ini, pasukan Pusat Khidmat Repok yang mewakili saya telah menyerahkan katil pesakit boleh laras kepada dua orang pesakit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Antara penerima bantuan tersebut ialah Wong Siong Lee, 70, yang menetap di Jalan Kiong Soon, serta Sii Toh Hung, 52, dari Jalan Hoe Hing.
Selain menyampaikan bantuan fizikal, Pasukan Khidmat Repok turut memberikan penerangan ringkas kepada ahli keluarga penerima mengenai cara penggunaan dan penyelenggaraan katil tersebut bagi memastikan ia digunakan secara optimum dan selamat.
Sementara itu, ahli keluarga penerima menzahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh Tiong Sii, yang menurut mereka sentiasa prihatin dan cakna terhadap kebajikan rakyat di kawasannya.
Oleh Earl Anek