
SARIBAS: Masyarakat Islam digesa agar tidak terlalu mengamalkan sikap prejudis di antara satu sama lain melaksanakan kerja amal terutama yang berkaitan dengan pembinaan masjid dan surau.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, keputusan orang perseorangan atau individu tertentu untuk tujuan itu seharusnya sentiasa dihormati dan disanjung tinggi.
“Tahniah kepada orang perseorangan mahu pun individu tertentu yang telah bermurah hati untuk mewakafkan tanah masing-masing bagi pembinaan masjid, surau dan sebagainya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas selama ini.
“Niat murni seperti ini harus sentiasa kita hormati dan sanjung tinggi dan tidak usahlah kita bersikap terlalu berprejudis dalam kalangan sesama kita dalam melakukan kerja-kerja amal seperti ini, kerana sikap prejudis ini merupakan salah satu ‘penyakit’ memudaratkan yang harus dielakkan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Darul Raihan Kampung Serembang Spaoh dan Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Kampung Serembang 2025 di Gelanggang Futsal Kampung Serembang, hari ini.
Tambah Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, beliau akan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama sehabis baik terutamanya dalam mencari dana, bagi merealisasikan impian orang perseorangan yang berhajat mewakafkan tanah masing-masing untuk pembinaan masjid, surau dan tanah perkuburan Islam mahu pun Pusat Tahfiz di DUN Saribas.
“Insya-Allah, saya bersedia juga untuk bekerjasama dengan sehabis baik terutamanya dalam bab mencari dana untuk merealisasikan impian mereka ini di DUN Saribas pada sepanjang masa selepas ini,”ujarnya.
Terdahulu, Razi berserta rombongan turut berkesempatan menunaikan solat Jumaat berjemaah bersama dengan sekitar 200 jemaah lain diimamkan oleh Imam Masjd Kampung Serembang Spaoh, Hamka Rashid.
Sebelum berkunjung ke majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri anjuran Jawatan kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Masjid di Gelanggang Futsal Kampung Serembang.
Masjid Darul Raihan Kampung Serembang, Spaoh yang boleh memuatkan sehingga 500 jemaah pada satu-satu masa dibina pada April sebelum siap sepenuhnya enam bulan kemudian pada September 2024.
Masjid Darul Raihan Kampung Serembang didirikan di tanah wakaf oleh Ketua Kampung Serembang, Kawi Dollah dengan kos sebanyak RM2 juta menerusi Projek Kecil Luar Bandar (RTP) ADUN Saribas.
Dalam pada itu peruntukan berjumlah RM350,000 diluluskan untuk naik taraf ruang letak kereta Masjid Darul Raihan Kampung Serembang melalui RTP.
Timbalan Residen Bahagian Betong, Hamdan Katang, Ketua Kampung Serembang, Kawi Dollah serta yang lain turut hadir.
Oleh Adi Safarman