
SIBU: Kerja-kerja penimbusan dan penaikan aras jalan di Jalan Chieng Nang Chong, Tanjung Kunyit di sini telah dimulakan bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan berkenaan.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kelvin Lau bersama kontraktor serta ketua masyarakat tempatan turun padang hari ini bagi meninjau kerja-kerja awal projek tersebut.
Menurut Lau, projek yang dibiayai di bawah peruntukan Sistem Maklumat Jalan Raya Malaysia (MARRIS) itu dijangka siap sepenuhnya minggu hadapan.

“Kerja-kerja telah dimulakan semalam (17 April), dan ketika lawatan kami pagi ini, kontraktor sedang memantau tapak serta meratakan batu kerikil sebelum lapisan tar disapu.
“Kawasan kerja telah ditanda bersama kontraktor pada 15 April lalu, dan kedudukan untuk kerja penimbusan telah dibincangkan mengikut bajet yang diperuntukkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Lau berkata pihaknya turut mengambil kesempatan untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan bagi mendapatkan maklum balas berkaitan keadaan jalan berkenaan.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar berhati-hati dan peka terhadap perubahan laluan semasa kerja-kerja pembaikan dijalankan demi keselamatan bersama.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf Jalan Tiang Jin di kawasan Bawang Assan sebelah barat telah siap sepenuhnya minggu lalu, juga menggunakan dana MARRIS.
Lau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, pemimpin masyarakat serta ahli majlis daerah dan bandar yang terlibat dalam menjayakan usaha pembangunan di kawasan Bawang Assan.
Oleh Tarani Lanting