
KUALA LUMPUR: Visi Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam menjadikan industri halal sebagai sumber ekonomi negara telah meletakkan Malaysia sebagai peneraju industri halal global masa kini, menurut Halal Development Corporation (HDC).
Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata dengan berat hati dan penuh dukacita, seluruh ahli lembaga pengarah, pengurusan dan seluruh warga kerja HDC, mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga atas pemergian perdana menteri kelima itu.
“Beliau merupakan tokoh penting yang telah mencadangkan dan mencetuskan idea penubuhan HDC pada 2006 dan memainkan peranan signifikan dalam memajukan industri halal di Malaysia,” ujar beliau.
“Kami amat menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam memperkembangkan ekonomi halal negara. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut Khairul Azwan, HDC akan terus memperjuangkan visi beliau untuk memantapkan Malaysia sebagai pusat halal global.
HDC, yang ditubuhkan pada 18 September 2006, merupakan peneraju utama kepada pembangunan ekosistem serta infrastruktur halal yang bersepadu dan komprehensif serta kini berada di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).
Abdullah yang mengumumkan penubuhan HDC sewaktu Forum Halal Sedunia pada 2006, telah mewujudkan satu platform khas bagi membolehkan negara muncul sebagai peneraju industri tersebut dalam landskap global, bersandarkan kekuatan Malaysia, terutama dalam pensijilan halal. – Bernama