

ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengusung masuk keranda jenazah Allahyarham Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk diletakkan di ruang solat utama bagi penghormatan terakhir di Masjid Negara hari ini. Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) 7.10 malam tadi pada usia 85 tahun. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh mula hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi bermula 10.00 pagi ini di Masjid Negara.
Menantu Allahyarham Tun Abdullah, Khairy Jamaluddin berkata penghormatan terakhir itu diawalkan daripada waktu asal iaitu 11.00 pagi memandangkan semua urusan pengurusan jenazah telah selesai dilaksanakan.

“Alhamdulillah, pengurusan jenazah telah selesai dan persiapan pihak Masjid Negara juga telah pun siap sepenuhnya bagi pelaksanaan Istiadat Pengebumian Negara. Oleh itu, kita bersetuju untuk mengawalkan waktu agar orang ramai dapat hadir memberikan penghormatan terakhir,” katanya kepada pemberita di perkarangan Masjid Negara, di sini.
Abdullah, 85, yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Lah’, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi. – Bernama