
KUCHING: Bandar Simanggang bakal berubah wajah dengan siapnya Jambatan Kedua Batang Lupar yang ikonik dan menarik serta dihiasi dengan tebingan sungai terpanjang di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembangunan tebingan sungai terpanjang di Sarawak sepanjang dua kilometer menyelusuri Bandar Simanggang hingga ke jambatan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperhebatkan pembangunan infrastruktur di kawasan pesisir.
“Dan daripada jambatan tersebut hingga ke Sri Aman, kita bina benteng sepanjang dua kilometer tersebut menjadikan ia sebagai tebingan sungai terpanjang di Sarawak.
“Ia mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan, jadi dengan itu kita bangunkan kawasan ekonomi baharu di situ,” katanya ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anak Perantau Simanggang dan Lembaga Amanah Masjid Sri Aman di sini, hari ini.

Sehubungan itu jelasnya, dengan adanya ikonik terbaharu di Simanggang akan merancakkan lagi sektor ekonomi dan pelancongan di kawasan itu memandangkan Simanggang amat terkenal dengan Pesta Benak yang diadakan pada setiap tahun.
Selain itu, Premier Sarawak turut menekankan kepentingan pembangunan sektor pertanian moden berasaskan teknologi sebagai langkah memperkukuhkan daya tahan ekonomi luar bandar.
Beliau menggesa agar tanah-tanah di kawasan seperti Tanjung Bijat, Banting dan Lingga dimanfaatkan secara optimum untuk pertanian moden termasuk projek tanaman padi berteknologi tinggi.
Abang Johari turut memaklumkan bahawa lebih banyak projek infrastruktur seperti jalan pesisir, jambatan dan bekalan air serta elektrik akan terus dibangunkan di kawasan pesisir termasuk Sri Aman, selaras dengan rancangan pembangunan negeri menjelang 2030.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Norazah Awang Sohor, Pengerusi Anak Perantau Simanggang Datu Kameri Affandi, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta dif-dif kenamaan lain. – UKAS