
KUCHING: Pendidikan dan pembangunan modal insan kekal menjadi agenda utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dalam usaha melahirkan generasi yang kompeten, berkemahiran dan berdaya saing.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata pendidikan merupakan kunci utama dalam penghasilan modal insan yang unggul serta aset penting kepada pembangunan sosial yang mampan.
Beliau menasihatkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar segera menentukan hala tuju selepas tamat persekolahan, sama ada untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) atau memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini dilihat semakin relevan dan menarik.
“TVET menawarkan program latihan kemahiran yang spesifik dan berorientasikan industri, sekali gus mempersiapkan para pelajar dengan kemahiran praktikal yang sangat diperlukan oleh pasaran kerja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan merangka Program Modal Insan yang turut dihadiri oleh wakil belia, pemimpin Pemuda, wakil Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) serta ketua-ketua kaum dari kawasan DUN Demak Laut.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar para pelajar mengambil peluang terhadap tawaran pendidikan tinggi percuma yang disediakan oleh kerajaan Sarawak, seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg khusus untuk anak-anak wilayah ini.
Tambah beliau lagi, usaha membina modal insan berkualiti perlu bermula sejak peringkat awal.
Justeru, beliau menekankan pentingnya penguasaan tiga subjek teras, iaitu bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, sejak di bangku sekolah rendah bagi membina asas yang kukuh dalam bidang akademik dan teknikal. – UKAS