KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), dengan kerjasama JT Utama Sdn Bhd, ARx Media Sdn Bhd dan Huawei Cloud melancarkan aplikasi pengesanan lokasi QMUNITY untuk membantu pihak berkuasa Sarawak mengesan pergerakan orang ramai dan kontaknya.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, QMUNITY adalah aplikasi pengesanan lokasi yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), dengan kerjasama JT Utama Sdn Bhd, ARx Media Sdn Bhd dan Huawei Cloud untuk menangani wabak COVID-19 di Malaysia di mana aplikasi ini akan membantu Pihak berkuasa Sarawak untuk mengesan pergerakan orang untuk untuk mengesan kontaknya jika perlu.
“Aplikasi ini akan lebih lanjut dipertingkatkan dengan ciri-ciri Kecerdasan Buatan (AI) Huawei seperti Pengiktirafan Wajah, Pengiktirafan Watak Optik dan Perkhidmatan Blockchains untuk memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik, meningkatkan kecekapan, dan memperbaiki keselamatan data dan pengurusan,” katanya pada sidang media QMUNITY Apps di MBKS, di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau berkata dengan cara paling mudah, QMUNITY App adalah mesra pengguna dengan langkah mudah.
“Pertama, Imbas kod QR yang terdapat di premis atau kenderaan. Daftar dengan nombor telefon. Masukkan maklumat peribadi iaitu nama dan nombor kad pengenalan.
“Setelah pendaftaran berjaya, pengguna boleh mendaftar masuk dan sejarah lokasi akan dikesan. Pengguna juga boleh melayari sejarah lokasi mereka, berita terbaru mengenai COVID-19 dan kontak kecemasan dalam aplikasi itu,”jelas Wee.
Wee berkata, bagi pemilik premis, mereka perlu mendaftar dengan menghubungi contact.qmunity@gmail.com, kemudian cetak satu salinan ‘Panduan Pengguna’ dan kod QR yang dihasilkan dan tampalkannya di premis mereka.
“Dengan menggunakan aplikasi ini, sejarah lokasi seseorang boleh dijejaki dan dihubungi sekiranya berlaku keadaan kecemasan, yang secara tidak langsung akan meminimumkan risiko pendedahan dalam kalangan pihak barisan hadapan.
“Di samping itu, data yang dikumpul akan membantu mengenal pasti kawasan berisiko tinggi serta bilangan pelawat di tempat tertentu,” tambahnya. Wee memberitahu, untuk permulaan, kita akan mempromosikan penggunaan aplikasi ini kepada orang ramai ini di Pasar Stutong.