
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyerikan majlis Aidilfitri Rumah Terbuka anjuran Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di kediaman beliau, hari ini.
Ketibaan Tun Pehin Sri Wan Junaidi serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah disambut mesra oleh Abu Bakar serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang di kediamannya pada 12.30 tengah hari.
Turut mengiringi Tun Pehin Sri Wan Junaidi ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato’ Sri Syed Hamzah Syed Paie.


Turut memeriahkan lagi suasana majlis ialah barisan kepimpinan kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan, wakil-wakil agensi serta para tetamu kehormat lain dari pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis yang diadakan dalam suasana penuh meriah dan harmoni itu menjadi medan bagi mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan rakyat, selari dengan semangat perpaduan yang menjadi teras sambutan Aidilfitri di negeri ini.
Tidak cukup dengan itu, majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah tradisional Hari Raya seperti lemang, ketupat, rendang, cendol dan aneka kuih-muih yang menambah seri suasana sambutan.
Rumah Terbuka Aidilfitri itu merupakan antara acara tahunan sebagai simbol keakraban serta peluang memperkukuh hubungan antara penjawat awam, pemimpin dan rakyat negeri ini. – UKAS