SEVILLA boleh dikatakan sudah mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA dengan menewaskan pasukan yang bergelut mengelak penyingkiran Real Mallorca 2-0 semalam.
Lucas Ocampos menjaringkan sepakan penalti dalam separuh pertama sebelum Youssef En-Nesyri menambah gool kedua kedua untuk membolehkan Sevilla berada sembilan mata di hadapan Villarreal yang berada di kedudukan kelima.
Dengan baki tiga perlawanan lagi dan rekod pertemuan lebih baik musim ini, Villarreal secara matematik belum lagi tesingkir tetapi mereka harus mengutip mata maksimum dan melihat Sevilla tewas kedua-dua baki perlawanan mereka.
“Kelayakan Liga Juara-Juara adalah objektif kami,” kata Fernando Reges dari Sevilla.
“Kami sangat dekat dan sekarang kami masih mempunyai beberapa langkah kecil untuk melakukannya.”
Melengkapkan kedudukan di empat tempat teratas akan menjadi pencapaian yang mengagumkan buat Sevilla dan jurulatih mereka, Julen Lopetegui, yang mengambil alih tahun lalu berikutan mimpi buruknya ketika mengendalikan pasukan kebangsaan Sepanyol dan Real Madrid.
Lopetegui, bersama dengan pengarah sukan Monchi, mengawasi perbaikan dramatik skuad pasukan pertama tetapi ia diperolehi menerusi persembahan konsisten Sevilla, yang kini 13 perlawanan tidak tewas dalam La Liga.
Mereka masih boleh menduduki tempat ketiga, memandangkan mereka mempunyai mata yang sama dengan Atletico Madrid.
Kekalahan merosakkan harapan pudar Real Mallorca untuk mengelakkan penyingkiran.
Mereka kekal tiga mata di belakang Alaves, yang mempunyai rekod pertembuan lebih baik musim ini dan bermain kurang satu perlawanan menentang Getafe pada hari Selasa.
Leganes juga berada tiga mata di belakang Alaves tetapi mempunyai harapan yang cerah setelah mereka menjaringkan satu penalti dan menyelamatkan satu lagi dalam kemenangan 1-0 ke atas Valencia.
Musim sengsara Valencia berlanjutan, dengan prospek kelayakan ke Liga Europa semakin jauh.
Mereka menduduki tempat kesembilan, tiga mata di belakang Getafe di tempat keenam, setelah bermain lebih satu perlawanan . – AFP