
SIBU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang warga emas yang gagal hadir di mahkamah bagi mendengar semakan semula kes mencabul kehormatan seorang wanita orang kelainan upaya (OKU).
Waran tangkap dikeluarkan oleh hakim Wong Siong Tung terhadap Chieng Huo Ai, 60, yang sebelum ini telah dijatuhkan hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen pada 6 September 2024, setelah mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.
Namun keluarga mangsa telah memfailkan permohonan semakan semula bagi mencabar hukuman denda RM8,000 yang dikenakan terhadap Chieng.
Permohonan ini dibuat selepas pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut.
Menurut peguam keluarga mangsa, Boston Ho, permohonan semakan semula itu dibuat kerana keluarga mangsa berpendapat hukuman itu nyata tidak mencukupi dan tidak menggambarkan keseriusan kesalahan yang dilakukan terhadap mangsa.
“Mereka percaya bahawa keadilan perlu dituntut, selain menuntut hukuman yang setimpal dan mencerminkan keserius perbuatan itu,” katanya pada satu sidang media, hari ini.
Boston Ho berkata, sejak permulaan prosiding semakan di mahkamah, Chieng telah gagal menghadiri semua perbicaraan dan telah berulang kali mengelak daripada hadir di mahkamah.
“Hari ini, Mahkamah Tinggi, selepas meneliti perkara itu, membenarkan permohonan mengeluarkan waran tangkap terhadap Chieng di bawah Seksyen 315 dan Seksyen 325(1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Mahkamah seterusnya memerintahkan supaya dia direman dalam tahanan atau dihukum penjara sementara menunggu keputusan semakan, dengan kebebasan untuk memohon jaminan.
“Keputusan ini dibuat demi menuntut keadilan dan untuk memastikan mahkamah dapat mengadili kes itu dengan betul,” kata beliau.
Keluarga mangsa turut menggesa Chieng menyerahkan diri kepada pihak berkuasa dengan segera dan menghadapi perbicaraan di mahkamah.
Mereka juga merayu orang ramai membantu mengesan tertuduh dan menghubungi balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat mengenai keberadaan tertuduh.
Mahkamah Tinggi turut menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh sebutan seterusnya bagi semakan kes tersebut.
Oleh Akun Giman