
DARO: Seekor anak buaya sepanjang dua kaki yang tersangkut dalam jala di Kampung Tengah, di sini berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daro, malam tadi.
Kehadiran reptilia itu disedari seorang lelaki ketika memeriksa jalanya.
Cemas dengan keadaan itu, lelaki terbabit kemudian menghubungi pihak APM untuk meminta bantuan menangkap buaya tersebut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Lt.(PA) Ra’idah Jomi berkata, sepasukan empat anggota APM bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam sekitar 9.28 malam.
“Seekor anak buaya yang berukuran dua kaki panjang berjaya ditangkap. Operasi menangkap anak buaya itu bermula pada 9.40 malam dan tamat pada 9.48 malam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pasukan APM mengambil kira-kira lapan minit untuk operasi menangkap anak buaya itu.
Setakat ini, anak buaya tersebut masih berada di pos kawalan APM Daro sementara menunggu tindakan selanjutnya.
Oleh Akun Giman