
SELANGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang, telah mengetuai Program Gotong-Royong untuk membersihkan kawasan sekitar P-Turn Laluan Pan Borneo di sini pada Ahad lalu.
Menurut Gira, kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan kawasan masing-masing, khususnya di kawasan laluan P-Turn yang sering dijadikan tempat pembuangan sampah oleh pengguna lebuh raya.
“Masalah pencemaran dan sampah sarap yang banyak semakin menjadi-jadi disebabkan sikap manusia yang tidak bertanggungjawab.
“Sikap seperti inilah yang perlu kita kikis dan hentikan dengan tidak membuang sampah-sarap ke tempat yang tidak sepatutnya.
“Ini bukan sahaja mencemarkan imej sekitar, malah turut menjejaskan ekosistem dan imej negeri di mata pelancong,” kata Gira selepas menyertai program gotong-royong tersebut.
Gira menegaskan bahawa kempen seperti ini perlu dijalankan secara berterusan melalui media sosial atau aktiviti amal yang dijalankan sepanjang masa.
Beliau berharap kerjasama daripada penduduk setempat dalam memastikan kebersihan persekitaran terjaga serta saling mengingatkan antara satu sama lain agar tidak membuang sampah merata-rata.
“Bagi meningkatkan kesedaran tentang kebersihan, saya mencadangkan setiap kawasan P-Turn di DUN Tamin diberi tanggungjawab untuk memastikan tahap kebersihannya, di bawah pemantauan Penghulu kawasan masing-masing,” tambahnya.
Justeru, Gira mencadangkan untuk mengadakan satu pertandingan kawasan P-Turn terbersih di DUN Tamin, dengan memberikan ganjaran kepada zon penghulu yang berjaya mengekalkan kebersihan terbaik.
“Kawasan P-Turn yang paling bersih akan diberikan imbuhan daripada Pusat Khidmat DUN N.59 Tamin,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan, Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Saga Chunggat, Wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Sibu, Ts. Chieng Siong Ming, serta beberapa agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Oleh Tarani Lanting