KUCHING: Seramai 36 orang pegawai bomba bantuan iaitu 35 orang lelaki dan seorang wanita telah menamatkan latihan setelah selama 10 hari menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Khirudin Drahman @Hussaini berkata, semua pegawai bomba bantuan tersebut dilantik sebagai sebahagian daripada modal insan JBPM khususnya JBPM Negeri Sarawak.
Menurutnya, sebahagian besar daripada Pegawai Bomba Bantuan yang tamat latihan akan ditempatkan di dua buah balai bomba yang baharu iaitu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah seramai 18 orang dan BBP Selangau juga seramai 18 orang.
“BBP Batu Niah telah mulai beroperasi sepenuhnya pada 1 Jun lalu manakala BBP Selangau pada 1 Julai lalu.
“Mereka akan mulai bertugas di BBP masing-masing pada 21 Julai nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2020 JBPM Sarawak di Ibu pejabat JPBM Sarawak di sini, semalam.
Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pegawai bomba bantuan di atas kejayaan menamatkan latihan di Ibu Pejabat JBPM Negeri Sarawak dan beliau percaya semalam merupakan detik yang ditunggu oleh semua setelah berhempas pulas menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak dan terpaksa meninggalkan keluarga selama 10 hari mulai 3 Julai hingga 12 Julai yang lalu.
Khirudin memberitahu, ia adalah hakikat sebenar pengorbanan dan komitmen yang harus ditunjukkan oleh seorang pegawai bomba untuk memberi khidmat kepada masyarakat.
“Pengorbanan dan komitmen sebegini diharap dapat berterusan demi memastikan kualiti dan kecekapan perkhidmatan jabatan dapat ditingkatkan selaras dengan objektif utama pelaksanaan Pegawai Bomba Bantuan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, perkembangan dan kemajuan negara selaras dengan arus modenisasi kini telah menyaksikan bertambahnya risiko bahaya dengan pertambahan jumlah penduduk dan premis.
“Keadaan ini telah menyebabkan keberkesanan dari segi “response time” tidak dapat dicapai kerana taburan dan jumlah keanggotaan pasukan bomba dan penyelamat sedia ada tidak mencukupi.
“Justeru, khidmat pegawai bomba bantuan ini dilihat amat relevan dan praktikal dari segi kos pengoperasiannya,” katanya.
Hakikatnya, katanya, ini disebabkan bentuk muka bumi dan geografi serta taburan bandar dan pekan yang agak jauh antara satu sama lain menyebabkan pembinaan balai bomba sepenuh masa kurang relevan kerana akan melibatkan kos operasi yang tidak efektif jika dibandingkan dengan purata kes kecemasan yang dihadiri.
“Dengan pentauliahan 36 pegawai bomba bantuan pada hari ini (semalam), diharap ia akan meningkatkan kualiti perkhidmatan jabatan khususnya dari segi “response time” di kawasan penempatan mereka.
“Ekspektasi masyarakat kini sememangnya mengharapkan Perkhidmatan Awam yang lebih responsif dan memberi perkhidmatan cepat dan tepat,” katanya.
Beliau turut menggesa kepada semua pegawai bomba bantuan supaya mengambil peluang untuk belajar daripada pegawai bomba yang telah berpengalaman supaya mampu memberi perkhidmatan yang cekap kepada masyarakat nanti.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian dan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Tiong Ling Hii.
Oleh Cheryl Law